Sabtu, 18 Jun 2011

HAYATILAH GAGASAN 1MALAYSIA

Sejak memperkenalkan Gagasan 1Malaysia (G1M) April lalu, pelbagai pandangan dan persoalan dikemukakan oleh rakyat negara ini kepada Dato' Sri Najib Tun Razak. Antaranya apakah tujuan sebenarnya memperkenalkan satu gagasan yang sudah wujud sejak sekian lama? Dalam ertikata lain apakah yang baru dalam gagasan itu yang memerlukan rakyat memahami dan menghayatinya? Persoalan ini juga dikemukakan oleh DIY kepada DS Najib dalam satu pertemuan bagi mendapatkan jawapan sebenar mengenai hasrat murni beliau itu.

Bagi DS Najib, walaupun apa yang terkandung dalam G1M itu dilihat sebagai 'perkara lama' yang wujud sejak sekian lama, rakyat negara ini perlu diperingatkan semula dengan formula terbaik kesejahteraan negara dan memastikan ia perlu dikekalkan selama-lamanya. Dalam ertikata lain tindakan untuk membawa balik perjuangan rakyat negara ini ke landasan perpaduan sebenarnya perlu digerakkan agar tidak terlalu lambat untuk memperbetulkannya kelak. Hakikat bahawa pemahaman mengenai formula perpaduan terbaik itu sudah mula luntur perlu diperbaiki dan dipupuk semula bermula dari sekarang. Bagi DS Najib, jika ia tidak dibuat dari sekarang, sudah tentu kesejahteraan dan keamanan negara ini tidak akan berpanjangan. Ketiadaan usaha mengekalkan formula ini membuat rakyat terus bercakaran dan berprasangka antara satu sama lain. Ini amat menakutkan.

Namun, sejak G1M diperkenalkan, usaha mempromosikan kepentingannya tidak kelihatan menyeluruh dan hanya membabitkan pihak yang boleh dibilang dengan jari termasuklah KPKK. Bagi DS Najib, tugas ini perlu dipikul oleh semua pihak terutama pemimpin parti komponen agar mereka dapat menyebarkan kebaikan G1M dengan meluas terutama kepada kaum mereka sendiri. Memahamkan dan memastikan mereka terus menghayatinya. Tindakan ini bukan bermusim tetapi berterusan agar formula terbaik ini terus dimartabatkan oleh generasi akan datang.

Ironinya, sejak diperkenalkan, ramai pihak yang mengambil kesempatan dengan 'menghalalkan cara' dengan meminta pelbagai perkara tersasar daripada ketetapan dalam Perlembagaan. Mengapa ini berlaku? Jawapannya tidak sukar iaitu ingin mengambil kesempatan daripada laungan 1Malaysia dan menyifatkan orang lain perlu 'memberi ruang dan kesempatan' atas dasar kesamarataan. Ini sebenarnya telah menyimpang daripada matlamat asal G1M dan menyerupai Malaysian Malaysia yang diperkenalkan oleh DAP.

Kelonggaran itu bukan bermakna ia tidak perlu mengikuti Perlembagaan. G1Malaysia adalah formula perpaduan yang menghormati apa yang dipersetujui dalam Perlembagaan. Tiga elemen pentingnya ialah kenegaraan, penerimaan dan keadilan sosial. Menyayangi dan menghormati negara ini, sikap toleransi menerima apa yang terkandung dalam Perlembagaan dan memastikan keadilan sosial sentiasa diamalkan di negara ini. Keadilan sosial di mana mereka yang amat memerlukan perlu dibantu sepanjang masa tanpa mengira kaum dan latarbelakangnya. Apatah lagi yang memerlukan itu terdiri daripada golongan majoriti yang termaktub dalam ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bahawa perlu dibantu apatah lagi jika mereka masih miskin, ketinggalan dan terbiar. Ini matlamat utamanya. Inilah landasan sebenar yang perlu dilalui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan